Angka kematian Covid-19 hampir cecah 100 orang sehari
29 MEI: Malaysia mencatatkan dua sejarah baharu apabila angka korban akibat Covid-19 kini mencecah 98 kes, manakala bilangan kes positif harian meningkat kepada 9,020 kes berbanding 8,290 kes semalam.
Manakala, bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 844 kes termasuk 430 orang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan 98 kes kematian baharu berkenaan jumlah kumulatif mereka meningggal akibat Covid-19 di Malaysia kini menjadi 2,650 kes setakat ini.
Beliau berkata, seramai 15 daripada individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini tidak mempunyai sejarah menghidap penyakit lain, manakala selebihnya mempunyai pelbagai sakit kronik seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser, asma dislipidemia, dementia, buah pinggang dan sebagainya.
“Selangor mencatatkan kadar kematian tertinggi hari ini dengan 27 kes daripada 98 kes maut, diikuti masing-masing 14 kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kedah dan Negeri Sembilan pula masing-masing mencatatkan lapan kes kematian; Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing lima kes; Sabah dan Terengganu masing-masing empat (4) ke; Pahang (3), di Kelantan dan Melaka masing-masing dua kes, serta di Perak dan Labuan masing-masing satu kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan 9,020 kes baharu berkenaan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini menjadi 558,534 kes termasuk 479,666 kes sudah pulih, manakala 76,218 kes masih aktif.
Dr Noor Hisham berkata Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi, dengan 2,836 kes, diikuti Kelantan (907), Negeri Sembilan (898), Kuala Lumpur (789), Sarawak (726), Johor (468), Kedah (468), Pulau Pinang (345), Melaka (340), Perak (272), Sabah (265), Labuan (253), Pahang (216), Terengganu (189), Putrajaya (29) dan Perlis (19).