29 MEI: Kerajaan beri amaran akan mengheret mana-mana individu ke mahkamah jika mereka masih berdegil melanggar SOP dan cuba merentas sempadan negeri dan daerah tanpa kebenaran apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh berkuatkuasa, mulai 1 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kerajaan terpaksa mengambil drastik berkenaan bagi memastikan pelaksanaan PKP penuh selama 14 mulai 1 hingga 14 Jun ini membuahkan hasil dan berjaya mengawal kadar penularan Covid-19 di Malaysia, dalam masa terdeka.
“Kita akan bawa ke mahkamah jika sekiranya degil dan tak mahu membayar kompaun, kesalahan berulang (ingkar SOP), tiada jalan lain selain hukuman mahkamah,” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat khas ‘Total Lockdown’ Sektor Ekonomi dan Sosial di bawah KDN di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, Hamzah juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti sekolah bermula hari ini bagi mengelak mereka terkandas di sana selepas ‘total lockdown’ dikuatkuasakan mulai Selasa ini.
Katanya, mereka mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman terutama ke negeri Pantai Timur sempena cuti hujung minggu, tidak akan terlepas kerana pihak berkuasa akan memperketatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan menjelang pelaksaanaan PKP penuh nanti.
“Kalau kamu nak cari jalan kali ini lari dari polis, ‘You could be winner this time, but you could be a loser next time.. sama-samalah amalkan disiplin diri dan lebih baik mematuhi SOP elak tindakan tegas dari polis dan menyusahkan diri sendiri dan semua,” katanya.
Dalam pada itu, kata Hamzah lagi, keputusan muktamad mengenai sektor mana akan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh 14 hari ‘total lockdown’ berlangsung akan diumumkan sama ada oleh Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob selaku orang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan PKP penuh, atau Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam masa terdekat.
“Saya juga secara peribadi berpandangan kerajaan akan terus memberi kebenaran kepada beberapa kategori individu untuk merentas negeri apabila PKP penuh mula dikuatkuasakan mulai 1 Jun nanti iaitu pasangan jarak jauh (PJJ), individu yang kematian ahli keluarga terdekat, masalah kesihatan dan kecemasan,” katanya. – oleh HAIKA KHAZI