29 MEI: Kerajaan perlu menambahkan lagi bantuan bersasar kepada golongan terkesan termasuk peniaga kecil-kecilan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mereka yang bekerja sendiri serta mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerajaan perlu melipat ganda usaha pemulihan ekonomi susulan pengumuman pelaksanaan ‘total lockdown’ Fasa Pertama mulai 1 hingga 14 Jun ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Beliau berkata sekarang bukanlah masa untuk bercakap berkenaan konsolidasi fiskal.
“Kerajaan perlu menambahkan lagi bantuan yang bersasar kepada golongan yang terkesan terutamanya mereka yg bekerja sendiri, peniaga kecil serta mereka yg masih lagi sedang mencari pekerjaan.
“Bantuan ini perlu berbentuk membina kapasiti terutamanya dari sudut latihan serta pembiayaan yang membolehkan mereka menguruskan modal pusingan disamping khidmat nasihat dan tunjuk ajar bagi mereka yg mahu mengubah dan mencuba nasib ke sektor yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Afzanizam berkata, kerajaan sememangnya keupayaan untuk meminjam didalam pasaran modal negara yang terdiri daripada pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), syarikat insurans, institusi perbankan, bank pusat, pelabur institusi asing yang sentiasa berminat untuk membeli instrument seperti sekutriti Kerajaan Malaysia dan Sukuk Kerajaan.
“Justeru, apa yang penting adalah rancangan serta pelan untuk melaksanakan program bantuan yang bersifat bersasar supaya golongan rentan, peniaga kecil, pencari kerja serta mereka yang kehilangan pekerjaan akan dapat memperbaiki nasib mereka dengan lebih baik.
“Pendek kata, bantuan untuk kelangsungan hidup yg perlu di titik beratkan dan ia perlu bersasar,” katanya.
Katanya, Bursa Malaysia sememangnya dijangka akan didagangkan lebih berhati-hati berikutan langkah penutupan penuh sektor ekonomi ini.
Beliau berkata umum mengetahui nagara telah pun melalui PKP 1.0 dan sudah tentu pengalaman ini akan dijadikan sandaran bagi merangka dasar serta langkah bagi meminimakan kesan kepada ekonomi.
Justeru, beliau berkata semua pelabur dijangka akan mengamalkan sikap tunggu dan lihat. – Oleh HAIKA KHAZI