29 MEI: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, memaklumkan perkhidmatan kerja sosial akan diangkat sebagai perkhidmatan profesional.
Katanya, usaha itu akan dimasukkan di bawah Pelan Strategik Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2021-2025.
Rina berkata, KPWKM turut menggubal Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial bagi tujuan mempunyai tenaga kerja komited dan profesional, selain mewujudkan tadbir urus yang baik dalam bidang kerja sosial.
“Profesion kerja sosial menjadi amat signifikan bagi memenuhi keperluan klien yang semakin kompleks dan dinamik, lebih-lebih lagi dalam era cabaran baharu dibawa kemajuan teknologi, khususnya teknologi digital serta kesan COVID-19 melanda dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Simposium Kebangsaan Kerja Sosial 2021 bertemakan ‘Memperkukuhkan Solidariti Sosial dan Keterhubungan Global’ yang berlangsung secara maya, hari ini.
Selain itu, Rina berkata, perancangan KPWKM untuk memprofesionalkan bidang kerja sosial adalah selari dengan usaha sama dan komitmen ASEAN dalam mengukuhkan perkhidmatan kerja sosial, melalui Hanoi Declaration on Strengthening Social Work Towards Cohesive and Responsive ASEAN Community yang diperakui para pemimpin ASEAN pada 2020.
Institut Sosial Malaysia (ISM) yang berperanan sebagai pusat latihan yang menawarkan pelbagai kursus dalam bidang kerja sosial, katanya, sudah melatih hampir 5,000 warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak ditubuhkan 2002 sehingga 2020.
“Saya percaya bahawa ilmu dan kemahiran daripada bidang kerja sosial ini dimanfaatkan sepenuhnya warga kerja JKM dalam merancang, membangun dan melaksanakan perkhidmatan kebajikan sosial bagi pelbagai kumpulan sasar yang memerlukan bantuan,” katanya.