29 MEI : Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meminta orang ramai yang menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang dari Wangsa Maju ketika waktu puncak pagi semalam (28 Mei) lalu diminta membuat saringan COVID-19 jika bergejala.
Menurut kenyataan Prasarana, langkah berkenaan perlu berikutan satu mesej tular di media sosial yang mengatakan dua penumpang yang menaiki tren berkenaan positif COVID-19.
“Selain itu, mereka yang menggunakan perkhidmatan LRT dari Taman Melati dan KLCC pada waktu puncak pagi pada 27 Mei lalu juga disaran untuk melakukan perkara yang sama,” kata Prasarana dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu tular, seorang penumpang bernama Claudia Nuriman yang membuat hantaran dalam akaun Twitter @claudianuriman menyatakan bahawa dirinya positif COVID-19.
Penumpang itu mengesahkan dia menaiki tren LRT Wangsa Maju ke Pasar Seni dan seterusnya menyambung perjalanan menggunakan perkhidmatan MRT ke Stesen Semantan antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi pada 28 Mei.
Sementara seorang lagi, pemilik akaun twitter Nurul Aisyah @asyxxi turut memberitahu bahawa dia positif COVID-19 dan meminta penumpang yang menaiki tren LRT dari Taman Melati ke KLCC antara pukul 8 dan 9 pagi, 27 Mei lalu menjalani ujian saringan.
Dalam pada itu, Prasarana memuji sikap keterbukaan kedua-dua penumpang berkenaan.
“Kami menasihati penumpang untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standar (SOP) ketika menggunakan perkhidmatan tren khususnya pemakaian pelitup muka dengan betul.
“Jika boleh, gunakan pelitup muka berganda untuk menjaga kesihatan masing-masing serta berhemah ketika menaiki tren bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19,” katanya lagi.
Prasarana memberitahu, semua tren Rapid KL disanitasi pada setiap malam bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang.
“Pun begitu, mereka yang mempunyai tanda-tanda bergejala, elakkan menggunakan perkhidmatan tren dan meletakkan para penumpang lain dalam risiko,” tambah kenyataan itu.