29 MEI: Tindakan orang ramai berpusu-pusu balik kampung sempena cuti hujung minggu tidak akan membantu negara mengurangkan kadar jangkitan kes Covid-19 yang kini mencecah lebih 9,000 kes sehari.
Berikutan itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai agar kekal duduk di rumah, setelah gambar-gambar menunjukkan ramai yang cuba merentas daerah dan negeri tersebar di media sosial hari ini.
Sebilangan besar gambar kesesakan lalu lintas yang tular di media sosial adalah membabitkan lokasi berhampiran sekatan jalan raya (SJR) plaza tol Gombak dan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini?” tanya Noor Hisham di Facebook, merujuk kepada gambar-gambar berkenaan.
“Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan. Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya dalam ciapan terbaharu menerusi akaun twitternya hari ini.
Dr Noor Hisham juga memberi amaran sistem kesihatan di Malaysia akan lumpur jika kerajaan gagal mengawal peningkatan kes Covid-19 dalam masa terdekat.
“Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU sudah penuh semuanya,” katanya.