30 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, menyifatkan kes kematian tertinggi harian COVID-19 semalam sebagai satu detik hitam kepada negara.
Menyuarakan keresahannya, dia berkata pertambahan 98 kes kematian COVID-19 itu menyaksikan angka korban akibat wabak tersebut kini berjumlah 2,650 kes.
Katanya perkembangan itu menyebabkan bilik simpanan mayat di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung pertambahan mendadak jumlah jenazah.
“Sebanyak 471 kematian berlaku pada tahun 2020 manakala 2,179 kematian dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama 2021.
“Dalam tempoh 1 hingga 29 Mei 2021 sahaja, sebanyak 1,144 kematian disebabkan COVID-19 telah direkodkan. Ini merupakan jumlah kes kematian bulanan yang paling tinggi setakat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.