30 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, yang meninggal dunia hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua menyanjung tinggi dan amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan sumbangan Allahyarham dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” kata Seri Paduka Baginda menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara hari ini.
Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kiriman di Facebook memaklumkan Allahyarham meninggal dunia jam 3 petang tadi di Hospiral Raja Permaisuri Bainun (HRPB).