30 MEI: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor membuat laporan polis terhadap Iswardy Morni yang didakwa membuat kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.
Selain itu, beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membuat tindakan sama terhadap Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak itu.
Naib Ketua ARMADA BERSATU Selangor, Shahmi Shamsuddin berkata perbuatan Iswardy adalah kurang ajar dan tidak bersesuaian dengan budaya serta situasi semasa negara yang masih dilanda pandemik COVID-19.
“Selesai membuat laporan polis terhadap Iswardy Morni berhubung kenyataannya di YouTube yang berbaur hasutan dan menghina Seri Paduka Baginda.
“Syabas dan tahniah juga atas tindakan pantas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan lanjut terhadap perkara ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Turut hadir sama membuat laporan polis, Ketua Pemuda Negara Parlimen Sepang merangkap Pengerusi Gerakan Anak Muda Dengkil (GERAMD), Azman Mohd Anorwar.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di YouTube rasmi miliknya.
Dalam video itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Al-Sultan Abdullah seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes COVID-19.
Pada masa sama, Iswardy turut membandingkan Al-Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di Johor.