30 MEI: Semua aktiviti ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penutupan penuh Perintah Kawalan Pergerakan bagi tempoh 1 hingga 14 Jun kecuali 17 perkhidmatan yang ditetapkan kerajaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kompleks beli-belah juga ditutup kecuali premis pasar raya, pasar raya besar dan bahagian seksyen makanan dan minuman, serta keperluan asas.
“Sebanyak 17 perkhidmatan yang dibenarkan itu ialah makanan dan minuman termasuk untuk haiwan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, perniagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar.
“Begitu juga dengan perkhidmatan air, tenaga, keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan, urusan sisa pepejal, pengangkutan darat dan air.
“Perkhidmatan dan perusahaan pelabuhan, lapangan terbang, komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos, kurier penyiaran bagi tujuan penyampaian maklumat berita,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, khidmat perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal; kredit komuniti termasuk pajak gadai, e-dagang, teknologi maklumat, pengeluaran, penyulingan dan pembekalan bahan api dan pelincir turut dibenarkan.
Selain itu, katanya, hotel dan penginapan bagi tujuan kuarantin, pembinaan, penyelenggaraan, perkhidmatan perhutanan, penguatkuasaan dan hidupan liar serta logistik terhadap kepada penyampaian perkhidmatan perlu.
Senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi:
1) Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan
2) Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar
3) Air
4) Tenaga
5) Keselamatan security and safety, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
6) Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan
7) Pengangkutan melalui darat, air atau udara
8) Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman dan penyimpanan atau pemukalan komoditi
9) Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya sahaja
10) Perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal
11) Kredit komuniti pajak gadai sahaja
12) E-dagang dan teknologi maklumat
13) Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir
14) Hotel dan penginapan hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan
15) Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
16) Perkhidmatan perhutanan terhad kepada penguatkuasaan dan hidupan liar
17) Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu