30 MEI: Tiga mangsa insiden pelanggaran LRT Kelana Jaya yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur kini menunjukkan perkembangan yang baik.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kesemua mereka berada dalam keadaan lebih stabil berbanding sebelum ini.
“Pada pagi ini, sekali lagi Pasukan Perubatan HKL memaklumkan perkembangan terkini mengenai tiga orang pesakit tersebut. Syukur apabila dimaklumkan bahawa ketiga-tiga pesakit menunjukkan progres yang baik dan keadaan lebih stabil berbanding sebelum ini.
“Seorang mangsa wanita berumur 37 tahun telah menjalani pembedahan otak pada awal pagi 25 Mei lalu kini beransur pulih dan berada dalam pemantauan rapi oleh pakar perubatan.
“Manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 52 tahun juga menunjukkan proses pemulihan yang memuaskan.Beliau akan menjalani pembedahan tulang belakang pada 31 Mei ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Sementara itu, Ka Siong berkata keadaan seorang lagi mangsa wanita berusia 26 tahun juga dilaporkan bertambah baik dan akan menerima rawatan lanjut oleh pakar ENT dan Oftalmologi.
“Saya juga telah berkomunikasi dengan keluarga ketiga-tiga mangsa itu dan mendoakan kesemuanya pulih sepenuhnya,” katanya.
Beliau memaklumkan kos perubatan kesemua mangsa berjumlah RM24,000 ditanggung sepenuhnya oleh Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana). – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH