30 MEI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga menzahirkan rasa dukacita dan atas pemergian tokoh agama yang juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia hari ini.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang.
“Semoga mereka (keluarga) tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.
“Selain menjadi Mufti Perak, Allahyarham memang dikenali sebagai seorang pendakwah dan agamawan yang mudah didekati dan disegani oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Jasa dan sumbangan besar Allahyarham dalam memperjuang dan mengembangkan syiar Islam adalah tidak ternilai harganya,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Muhyiddin berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan kepada dunia dakwah, bukan sahaja buat negeri Perak tetapi kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Justeru, beliau mengajak semua rakyat agar sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham yang sepanjang hidupnya mengabdikan diri untuk memperkasakan Islam ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.