30 MEI: Rentas negeri dan daerah bagi pasangan jarak jauh tidak dibenarkan dalam tempoh penutupan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, mulai 1 hingga 14 Jun ini surat kebenaran bekerja, merentas daerah hanya dikeluarkan oleh kementerian yang berkaitan.
“Pihak polis masih boleh keluarkan surat kebenaran rentas negeri, daerah bagi tujuan kecemasan seperti kematian dan keluarga nazak.
“Pergerakan untuk mendapatkan khidmat kesihatan, perubatan dan barang keperluan harian dibenarkan dalam radius 10 kilometer atau terhampir dari kediaman.
“Hanya dua orang dibenar keluar mendapatkan barangan keperluan asasi, termasuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau menambah, kompleks beli-belah ditutup kecuali premis pasar raya, pasar raya besar dan bahagian seksyen makanan dan minuman, serta keperluan asas, katanya lagi.
Tambahnya, sektor ekonomi yang dibenarkan berkhidmat hanya boleh beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.
“Aktiviti riadah secara bersendirian pula dibenarkan hanya untuk joging dan senaman tanpa sentuhan dengan had masa hingga 8 malam,” katanya.