30 MEI: Kesemua pengguna yang melalui Plaza Tol Gombak yang tular semalam mencukupi syarat untuk melakukan perjalanan rentas negeri menghala ke Pantai Timur.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya mendapati keseluruhan pengguna mempunyai surat kebenaran yang sah sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak.
Arifai berkata, sebahagian besar yang melalui SJR berkenaan menunjukkan surat kebenaran atas urusan kerja yang disahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain surat kebenaran dari pihak polis.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan, terdapat 14 pemilik kenderaan diarahkan berpatah balik selepas mereka memberikan alasan tidak munasabah dan mengemukakan dokumen tidak lengkap serta meragukan.
“Setiap proses pemeriksaan yang dibuat secara teliti mendapati sebahagian besar pengguna mempunyai surat kebenaran rentas negeri.
“Selain urusan bekerja dan terbabit dalam perkhidmatan penting, ada antara pengguna juga mempunyai kebenaran atas faktor kecemasan dan perubatan serta Pasangan Jarak Jauh (PJJ).
“Mereka yang diarah berpatah balik ini membawa rakan sedangkan surat kebenaran adalah untuk faktor PJJ, bagi membolehkan dia bertemu isterinya di Pahang, selain membawa individu lain yang tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Arifai memaklumkan kesesakan yang panjang lebih satu kilometer berlaku di laluan berkenaan berkemungkinan disebabkan kenderaan terlalu banyak yang ingin menuju ke Pantai Timur dan memilih untuk melakukan pergerakan pada masa sama antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.