31 MEI: Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin mengesahkan tentera zionis Israel telah menahan 18 wartawan Palestin di penjara negara haram itu.
Suruhanjaya itu memaklumkan wartawan, Zaina Halawani dan jurugambar, Wehbe Makiya turut ditahan baru-baru ini oleh tentera rejim itu.
“Kedua-duanya diserang dengan kejam dan masih ditahan dengan alasan untuk melengkapkan siasatan.
“Pihak berkuasa penjajah baru-baru ini meningkatkan serangan terhadap wartawan dan kru media Palestin, terutama di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis yang diduduki,” katanya seperti memetik laporan Agensi Berita Jordan (Petra).
Dalam pada itu, Suruhanjaya itu turut memberitahu pihaknya sejak awal lagi telah melaksanakan bantahan mengutuk dasar Israel yang mencabuli hak penduduk Palestin, khususnya di Baitulmaqdis.
Menurutnya, pihak berkuasa penjajah telah mengganggu tugas wartawan dan menghalang mereka menyampaikan kebenaran serta mendedahkan jenayah yang dilakukan.
“Pelbagai cara digunakan untuk menghalang tugasan wartawan dan kru media termasuk merampas peralatan, menyekat kebebasan bergerak dan melepaskan tembakan ke arah mereka, selain menyerang ibu pejabat media dan institusi.
“Suruhanjaya itu meminta pertubuhan hak asasi manusia dan organisasi antarabangsa menghantar suruhanjaya penyiasatan untuk mendokumentasi keganasan terhadap kru media, dan memastikan pihak penceroboh bertanggungjawab terhadap jenayah dilakukan kepada wartawan yang menjalankan tugas,”katanya.