31 MEI : Pusat Komuniti Daerah (PKD) akan beroperasi menerusi beberapa kaedah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh bermula esok.
Menteri Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, bagi mengurangkan pergerakan, orang ramai boleh menghubungi menerusi talian telefon atau aplikasi WhatsApp kepada pengurus-pengurus PKD yang telah dilantik.
“Kaedah janji temu dengan kehadiran minima dan kaedah secara pandu lalu di PKD terpilih.
“Gembira untuk berkongsi seramai 3,087 orang telah berjaya didaftarkan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara semenjak PKD diaktifkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, KPLB turut mengaktifkan sebanyak 191 buah PKD di seluruh negara sebagai Pusat Daftar Vaksin (PDV) Luar Bandar bermula 20 Mei lalu.
Kementerian menyasarkan peningkatan sebanyak 20- 30 peratus jumlah pendaftaran sedia ada bagi mempercepatkan proses imunisasi COVID -19 kepada masyarakat luar bandar.
Bagi melancarkan urusan pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Pengurus PKD akan menjadi barisan hadapan KPLB dalam membantu melancarkan pendaftaran secara dalam talian.
Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Abdul Latiff menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan jangkitan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.
“Kita haruslah sentiasa menjaga SOP yang ditetapkan. Bersama-sama kita menjaga amalan kebersihan kendiri sebagai langkah pencegahan.
“Ayuh berganding bahu memutuskan rantaian COVID19 dalam melindungi nyawa, kehidupan dan memperteguhkan ekonomi pada masa yang sukar dan mencabar ini,” katanya.