31 MEI: Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi mengumumkan gaji Perdana Menteri, semua Menteri dan Timbalan Menteri akan dipotong selama tiga bulan mulai Jun ini.
Muhyiddin berkata semua potongan gaji berkenaan akan dimasukan kedalam Akaun Amanah Bencana sebagai Membiayai Perbelanjaan Berkaitan COVID-19.
Perdana Menteri berkata, sumbangan itu, kesinambungan yang diamalkan ketika pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu.
“Seperti yang telah diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, saya ingin memaklumkan tanda sokongan barisan menteri dan timbalan menteri dengan tidak mengambil gaji selama 3 bulan mulai Jun 2021.
“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,”katanya dalam perutusan khas pengumuman Pakej PEMERKASA Plus berikutan pelaksanaan PKP penuh atau Total Lockdown mulai esok.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata keputusan untuk melaksanakan lockdown ini adalah satu keputusan yang sukar tetapi terpaksa dibuat.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata sama ada lockdown yang dilaksanakan ini akan berjaya atau tidak semuanya terserah kepada seluruh rakyat Malaysia serta ketentuan Ilahi.
Beliau berkata kerajaan telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Saudara dan saudari dikehendaki duduk di rumah – stay at home – saya ulangi stay at home – dan sentiasa patuh kepada SOP. Jika saudara dan saudari gagal mematuhi arahan ini, maka kita semua akan gagal, na’uzubillah.
“Kepada para frontliners, bertabahlah. Saya tahu anda semua penat berperang melawan virus ini sejak lebih setahun yang lalu. Saya ingin ulangi penghargaan kerajaan yang tidak terhingga atas segala jasa dan pengorbanan frontliners kita di seluruh negara.
“Saya doakan agar anda semua terus diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk mengharungi cabaran dan dugaan yang amat besar ini. Saya juga mendoakan agar semua pesakit yang sedang bertarung melawan COVID-19 ini diberikan kesembuhan segera, amin ya rabbal alamin,” katanya
Perdana Menteri juga melahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa COVID-19 yang telah meninggal dunia dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan yang amat berat ini. – Oleh Haika Khazi