31 MEI : Polis sudah memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor menerusi Instagram (IG) dimuatnaik di akaun milik Datin Noor Kartini Noor Mohamed.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata siasatan itu dijalankan susulan pihaknya menerima satu laporan daripada Noor Kartini yang juga ibu selebriti popular, Neelofa, mengenai perkara terbabit kira-kira jam 5.44 petang semalam.
“Laporan dibuat berhubung paparan di Instagram peribadi milik wanita berusia 54 tahun itu yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar.
“Siasatan awal mendapati hantaran dibuat seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mengaku tersilap menggunakan akaun Instagram milik pengadu dengan membuat hantaran melalui medium ‘IG Story’ di media sosial itu,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.
Anuar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsikan sebarang maklumat atau berita di media sosial, sehingga menjejaskan reputasi dan hak asasi mana-mana individu.
Noor Kartini, semalam, dilaporkan mendakwa dia kesal dengan perkara itu dan akan memastikannya tidak berulang.
Jelasnya, perkara itu berlaku atas kecuaian seorang kakitangannya, iaitu pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd yang mempunyai akses membuka laman Instagram miliknya.
Terdahulu, tular tangkap layar IG Story Noor Kartini yang menyaksikan orang ramai kesal dengan perkataan kasar digunakan bagi merujuk laporan berita itu, namun hantaran di media sosial terbabit dipadam selepas beberapa minit dimuat naik, semalam.