31 MEI: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia ( PPV MITEC) mampu memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada sehingga 8,000 penerima setiap hari apabila dinaik taraf sebagai PPV Mega mulai 7 Jun ini.
Pengurusnya, Dr Nor Maizura Haron, berkata buat masa sekarang PPV MITEC yang mula beroperasi mulai hari ini mampu menampung sehingga 2,500 penerima suntikan vaksin COVID-19 setiap hari.
Berikutan itu Maizura berkata pihaknya sedang membuat persiapan bagi menaik taraf kemudahan dan petugas di PPV MITEC sebagai PPV Mega sekali gus membolehkan lebih ramai individu menerima vaksin dalam masa terdekat.
“Hari ini adalah hari pertama PPV MITEC beroperasi selepas dua PPV iaitu di Manjalara dan Titiwangsa dipindahkan ke sini. Hari ini kita menyasarkan 2,500 orang hadir menerima vaksin.
“Berikutan pengumuman menteri semalam, kita kini sedang membuat persiapan untuk menjadikan PPV MITEC ini sebagai PPV mega. PPV mega ini akan beroperasi sepenuhnya 7 Jun ini,” katanya sesi taklimat kepada pemberita di PPV MITEC di sini hari ini.
Malah, sehingga jam 12 tengah Hari ini seramai 1,400 orang sudah berdaftar termasuk 1,100 sudah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, manakala selebihnya dijangka berbuat demikian petang ini.
Mengulas mengenai operasi hari pertama PPV MITEC, Dr Nor Maizura berkata, proses pemberian vaksin setakat ini berjalan lancar dan tersusun dibantu kira-kira 250 petugas termasuk 85 daripadanya adalah kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, setiap individu yang menerima vaksin di PPV itu hanya mengambil masa kurang daripada sejam bermula daripada saringan termasuk 30 minit proses pemantauan selepas diberikan imunisasi itu.
“Hari ini juga kita menerima seramai 50 penerima vaksin dalam kalangan bakal jemaah haji. Kehadiran mereka berdasarkan senarai dikeluarkan Tabung Haji (TH) selain sudah berdaftar dengan MySejahtera,” katanya.
Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata PPV MITEC akan dinaik taraf sebagai PPV mega dalam tempoh terdekat.
Naik taraf itu katanya, bertujuan untuk menampung lebih ramai penerima vaksin sekali gus melancarkan proses imunisasi kebangsaan.
Selain MITEC, beliau berkata lima lagi PPV mega akan dibuka iaiti tiga di Selangor dan dua di ibu negara.
PPV mega di Selangir akan dibuka di Pusat Konvensyen The Mines dekat Seri Kembangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dan Pusat Konvensyen Setia City.
Bagi Kuala Lumpur pula, PPV mega akan dibuka di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ( KLCC).