31 MEI: Sabah menjadi negeri terendah dalam pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) apabila hanya merekodkan sebanyak 18.88 peratus daripada jumlah keseluruhan, setakat ini.
Menerusi paparan di laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Sabah mencatatkan seramai 553,828 individu daripada jumlah keseluruhan 12,117,091 yang mendaftar program itu di seluruh negara, berbanding sasaran populasinya dan berada dalam kategori merah.
Kelantan menjadi negeri kedua terendah apabila merekodkan 34.05 peratus atau bersamaan 419,425 individu mendaftar diikuti Pahang dengan sebanyak 39.61 peratus atau seramai 487,895 individu.
Dua negeri berkenaan berada dalam kategori jingga.
Putrajaya pula mencatatkan kadar pendaftaran 100 peratus apabila seramai 67,214 penduduknya sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi.
Kuala Lumpur pula merekodkan sebanyak 68.45 peratus, diikuti Selangor (66.76 peratus), Sarawak (59.21 peratus), Pulau Pinang (57.49 peratus) dan Negeri Sembilan (55.89 peratus).
Labuan mencatatkan sebanyak 55.85 peratus, manakala Melaka (53.46 peratus), Johor (52.63 peratus), Perlis (44.09 peratus), Perak (44.07 peratus), Kedah (41.27 peratus) dan Terengganu (40.30 peratus).