Usaha menjatuhkan Netanyahu giat dijalankan parti sayap kiri Israel
31 MEI : Usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu giat dijalankan oleh bekas penyiar TV, Yair Lapid yang kini berusaha untuk membina gabungan baru untuk membentuk kerajaan.
Pemimpin Parti Nasionalis Israel, Naftali Bennett dari parti Yamina telah bersetuju dengan gerakan tersebut untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan.
Ahli Parlimen menentang Netanyahu sedang dalam perbincangan hangat menjelang tarikh akhir Rabu ini, susulan gencatan senjata berikutan konflik ketenteraan terbaru dengan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.
Lapid ,57 mempunyai tempoh sehingga jam 11.59 malam Rabu ini untuk membentuk gabungan sekurang-kurangnya 61 kerusi majoriti daripada 120 kerusi Knesset (Parlimen Israel).
Dalam tekadnya untuk menjatuhkan Netanyahu, Lapid menawarkan untuk berkongsi kuasa membabitkan Bennett serta Ahli Parlimen Arab-Israel. dan akan meletakkan Bennett, 49, memegang jawatan pada penggal pertama menerusi penggiliran perdana menteri.
Jika gerakan gabungan kerajaan yang digelar ‘Blok Perubahan’ itu berjaya, ini bermakna ia sekali gus mengakhiri pemerintahan Perdana Menteri paling lama, Benjamin Netanyahu yang memegang jawatan selama 12 tahun berturut-turut.
Netanyahu turut berusaha untuk terusn kekal berkuasa dengan menawarkan perjanjian perkongsian kuasa kepada beberapa bekas sekutunya termasuk Bennett.
Kata beliau, Israel akan diperintah oleh pakatan ‘sayap kiri’ yang berbahaya jika beliau dijatuhkan.
Netanyahu, 71, berdepan perbicaraan berkaitan penipuan, rasuah dan dakwaan pecah amanah yang dinafikan beliau dan terus berkuasa melalui pergolakan politik menyaksikan empat pilihan raya dalam dua tahun.