1 JUN: Seramai 800,000 penjawat awam menyumbangkan sebahagian imbuhan tetap mereka selama tiga bulan kepada Akaun Amanah Bencana, sebagai manifestasi solidariti bagi memperkasa rakyat dan ekonomi ketika COVID-19.
Jumlah keseluruhan sumbangan yang dianggarkan lebih RM30 juta itu, membabitkan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, selain Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41, manakala sumbangan berkenaan tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam di bawah Gred 1 sehingga Gred 28.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata surat edaran dan perincian penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Bagi gred JUSA A ke atas, JUSA B, JUSA C dan 44 sehingga 56 yang membabitkan ITK, masing-masing menyumbangkan sebanyak 50 peratus, 20 peratus, 10 peratus serta lima peratus.
“Manakala penjawat awam bagi gred 29 sehingga 41 yang membabitkan IT KAmenyumbangkan RM10,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Zuki berkata, penjawat awam sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan, justeru sumbangan itu adalah tanda kebersamaan mereka dalam membantu memerangi serta melandaikan keluk jangkitan COVID-19 di negara ini.
“Semoga pengorbanan penjawat awam menghulurkan sumbangan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan mereka dan ahli keluarga.
“Marilah kita meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara, selain membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh mencabar ini,” katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan bernilai RM40 bilion sebagai tambahan kepada program terdahulu bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara, menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat dan perniagaan terjejas.
Ketika pengumuman itu, beliau turut memaklumkan bahawa setiap Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji bagi tempoh 3 bulan sebagai tanda prihatin serta menyumbang kepada usaha murni berkenaan.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN