1 JUN: Kira-kira 13,000 kakitangan termasuk pengerusi dan ahli lembaga pengarah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyumbangkan sebahagian gaji atau elaun mereka selama tiga bulan kepada Akaun Amanah Bencana.
Bagaimanapun, jumlah sumbangan adalah atas pilihan masing-masing dan ia dilakukan sebagai manifestasi solidariti bagi memperkasa rakyat dan ekonomi ketika COVID-19.
Menterinya, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata sumbangan itu membabitkan semua anak syarikat dan agensi di bawah KPLB.
“Sumbangan ini sebagai solidariti kami dalam membantu memperkasakan rakyat dan ekonomi ketika pandemik COVID-19 masih tinggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anak syarikat di bawah KPLB termasuklah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (KETENGAH).
Selain itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra Bhd.
Sebelum itu, seramai 800,000 penjawat awam turut menyumbangkan sebahagian imbuhan tetap mereka selama tiga bulan kepada Akaun Amanah Bencana.
Jumlah keseluruhan sumbangan penjawat awam itu dianggarkan lebih RM30 juta.
Ia membabitkan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, selain Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41, manakala sumbangan berkenaan tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam di bawah Gred 1 sehingga Gred 28.