1 JUN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mewujudkan 19 pusat pemberian vaksin (PPV) institusi pengajian tinggi (IPT) yang berkemampuan memberikan 14,000 vaksin sehari atau keseluruhan 432,000 sebulan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata tambahan PPV di universiti awam (UA) itu akan membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dengan lebih cepat.
Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengenal pasti UA dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang berpotensi dijadikan PPV.
Pasukan khas itu diketuai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, dibantu Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Razman Jarmin dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Nazirah Hasnan.
“Cadangan untuk menjadikan sebahagian IPT sebagai PPV adalah bagi membantu PICK dalam menyediakan akses lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin,” katanya sambil menambah, KPT juga sudah membentangkan cadangan itu pada Sidang Khas Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).
Noraini berkata, model PPV IPT menggunapakai model PPV di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan membabitkan UA, HPU, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV IPT.
“Pasukan khas sudah mengenal pasti 19 PPV IPT yang mampu memberikan 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan,” katanya.
Ia membabitkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Selain itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UAIM) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Puncak Alam.
Ia turut membabitkan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@IIUM (SASMEC @IIUM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM (AMDI-USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).