Benarkan penjualan vaksin kepada kerajaan negeri-Bung Moktar
1 JUN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membenarkan syarikat Pharmaniaga supaya menjual vaksin Covid-19 kepada kerajaan negeri.
Katanya, langkah itu bagi memastikan vaksin boleh dibeli oleh sektor swasta seterusnya mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada rakyat di negeri itu.
Beliau berkata, langkah kerajaan melaksanakan semua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sesuatu yang baik namun ia hanya sia-sia sekiranya tiada perancangan yang strategik dibuat.
”Di Sabah kita mempunyai 3.89 juta penduduk tetapi sekarang ini hanya kira-kira 130,000 orang yang telah di vaksin dan ini bermakna masih ramai yang terdedah kepada jangkita Covid-19.
”Selaku pemimpin di negeri ini saya meminta kerajaan persekutuan agar membekalkan vaksin kepada Sabah menerusi Pharmaniaga iaitu syarikat yang dilantik kerajaan persekutuan untuk membekalkan vaksin kepada sektor swasta seterusnya diedar atau dijual di klinik-klinik kesihatan swasta dan lain-lain.
”Kenapa Sabah dinafikan hak? (mendapatkan vaksin daripada Pharmaniaga), kami bayar bukan minta percuma, jadi saya meminta kepada pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan menteri bertanggungjawab terhadap vaksin iaitu Khairy Jamaluddin supaya dengar suara orang Sabah, jangan ‘syok’ sendiri saja,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Bung yang juga menteri kerja raya berkata, sekiranya sektor swasta di Sabah dibekalkan vaksin untuk diberi atau dijual kepada orang ramai ia akan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kerana kerajaan dan sektor swasta sama-sama melaksanakannya.
Katanya, negara ini juga perlu mencontohi beberapa negara luar yang membenarkan sektor swasta menjual vaksin kepada rakyatnya.
“Di Filipina, di Thailand sudah lakukannya (penjualan vaksin oleh sektor swasta), kenapa di Malaysia terlalu ‘slow’? Ramai pemimpin yang bercakap mengenai Covid-19 tetapi mereka hanya cakap kosong saja dan tidak fikir masalah rakyat.
”Negara-negara lain juga termasuk di Eropah, Amerika, China mereka bertungkus-lumus untuk memberikan vaksin kepada seberapa banyak rakyat mereka tetapi kita di Malaysia, MySejahtera lah, itulah tetapi tidak juga berjalan,” katanya.