1 JUN: Sepasang suami isteri ditahan polis kerana disyaki mengeksploitasi kanak-kanak untuk melakukan kerja di sebuah rumah di Taman Bukit Seputeh di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis berjaya menyelamatkan lima kanak-kanak dan remaja berusia lapan hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
“Kita telah menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dia bersama 16 kanak-kanak dari rumah anak yatim di Kulim, Kedah, dibawa oleh pasangan berkenaan ke rumah itu untuk melakukan kerja rumah sepanjang hari sejak tahun 2017,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuar berkata, seramai 14 orang daripada kanak-kanak itu telah melarikan diri disebabkan tidak tahan melakukan kerja rumah secara paksa dan dipukul jika tidak mengikut arahan.
“Mangsa telah berjaya melarikan diri dari rumah itu pada jam 10 pagi, kemudian datang ke balai polis untuk membuat laporan polis, semalam,” katanya.
Anuar memaklumkan suspek berusia 54 dan 55 tahun akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.