2 JUN: Jumlah kes kematian COVID-19 terus meningkat apabila mencatatkan sebanyak 126 kes hari ini sekali gus merekodkan jumlah tertinggi sejak penularan virus itu di negara ini dengan jumlah keseluruhan 2,993 kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan 123 rakyat tempatan dan tiga warga asing.
“Sebanyak 126 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 29 kes di Selangor, 18 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 14 kes di Negeri Sembilan, 12 kes di Kelantan, 11 kes di Johor, 10 kes di Kedah, dan lapan kes di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Selain itu, masing-masing lima kes di Melaka dan Terengganu, empat kes di Sarawak, tiga kes di Pahang, masing-masing dua kes di Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Perak, serta satu kes di Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini turut mencatatkan peningkatan iaitu 7,703 kes dan daripada jumlah itu, 7,701 kes adalah kes tempatan manakala dua merupakan kes import.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 872 orang termasuk dan 419 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 82,274 atau bersamaan 14.01 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 22 kluster baharu dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, 11 adalah kluster berkaitan tempat kerja, tujuh kluster komuniti, dua kluster pendidikan tinggi dan satu masing-masing adalah kluster pusat tahanan dan keagamaan.
Menurut beliau, terdapat tiga kluster tempat kerja di Johor iaitu Jalan Bioteknologi Satu, Jalan SILC Satu serta Teknologi Enam manakala di Pulau Pinang manakala dua di Sarawak iaitu di Jalan Jee Cattleya dan Jalan Pinang Riam.
“Manakala enam lagi kluster tempat kerja adalah di Jalan Waja Lima Belas, Selangor; Jalan Balam, Kuala Lumpur; Pantai Kemayang, Kelantan; Industri Jemapoh, Negeri Sembilan; Jalan Tambun, Perak; dan Industri Bukit Panchor di Pulau Pinang.
“Bagi kluster komuniti, dua daripadanya adalah di Sarawak iaitu Nanga Meruan serta Sungai Penyarai manakala lima lagi terletak di Jalan Parit Raja Tengah, Johor; Kelisa Emas, Pulau Pinang; Taman Fasa 2A yang terletak di Kuala Lumpur dan Perak; Dah Kampung Lancuk, Kedah serta Kampung Alai di Perak.
“Dua kluster pendidikan tinggi yang baharu terletak di Jalan Beringin, Selangor dan Jalan Yaacob Latiff 2, Kuala Lumpur serta Jalan Mutiara Galla, Negeri Sembilan merupakan Kluster Keagamaan dan DTI Kemenyan merupakan Kluster Pusat Tahanan yang baharu,” katanya.
Tambah Noor Hisham, jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 2,237 dan sebanyak 1,563 kluster telah ditamatkan di samping hanya 674 kluster yang masih aktif. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH