2 JUN: Seorang pemandu jengkaut terkejut apabila terserempak seekor ular sawa batik ‘gergasi’ ketika melakukan kerja-kerja membersihkan kebun kelapa sawit di Jalan Kubu Gajah, Selama, Larut, Perak, semalam.
Berikutan itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Mohd. Nor Khairi Johari berkata, sepasukan lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.11 tengah hari.
Katanya, setibanya anggota di lokasi, didapati seekor ular sawa sepanjang hampir lima meter dan dianggarkan seberat 100 kilogram berada di kawasan semak berhampiran.
“Operasi menangkap reptilia segera dijalankan oleh anggota bomba dan penyelamat dengan menggunakan alat penjerut sebelum ular itu diangkat menggunakan jengkaut ekoran saiznya yang agak besar.
“Kerja-kerja menangkap reptilia itu tidak berhadapan kesukaran kerana ular itu tidak bertindak agresif. Operasi mengambil masa kira-kira 20 minit dan reptilia itu dibawa balik ke balai untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, reptilia itu ketika ditemui sudah pun berada dalam keadaan lemah sebelum disahkan mati.
“Bangkai haiwan ini akan dilupuskan dengan cara ditanam,” katanya yang mengesah video tular di media sosial mengenai penangkapan ular sawa batik yang disangkakan Anaconda oleh warganet terbabit.