2 JUN: Kabinet bersetuju agar satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi memudahkan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini melaksanakan misi bantuan kemanusiaan membantu rakyat Palestin terutamanya di Gaza susulan gencatan senjata 21 Mei lepas.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Jawatankuasa khas itu dipengerusikan bersama Takiyuddin dan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Khas tersebut dikehendaki melaksanakan beberapa tanggungjawab seperti membuat semakan latar belakang NGO-NGO yang ingin melaksanakan misi bantuan kemanusiaan untuk Palestin sebelum mereka dibenarkan membuat permohonan.
“Jawatankuasa ini juga akan mengkoordinasikan semua NGO ini di bawah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan yang sama dan mempermudahkan permohonan mereka sekiranya mereka memenuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Dengan ketetapan ini, ia bermakna bahawa setiap NGO yang mahu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin hendaklah membuat permohonan hanya melalui dua Kementerian yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas ini.
“Hanya apabila permohonan mereka diluluskan, Kabinet bersetuju agar Kementerian Luar Negeri membantu dalam memudahkan perjalanan NGO-NGO tersebut ke Palestin,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan Kementerian Luar Negeri akan menumpukan terhadap koordinasi dengan semua negara terlibat.
“Ini dilakukan supaya NGO-NGO yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ini mematuhi setiap SOP serta peraturan yang ditetapkan negara-negara tuan rumah.
“Buat masa ini, Kementerian Luar Negeri menasihatkan NGO-NGO ini agar melakukan perjalanan ke Palestin hanya melalui dua negara, iaitu Mesir dan Jordan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH