2 JUN: Seorang jururawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor berkongsi pengalaman yang mampu menitiskan air mata tentang seorang pesakit COVID-19 ditidurkan yang mungkin menjadi perjalanan terakhirnya di dunia ini.
Menurut Shahrin Sahabudin, apabila pesakit menerima rawatan berkenaan, berkemungkinan besar itulah kali terakhir pesakit akan hidup sebelum meninggalkan ahli keluarganya buat selama-lamanya.
Beliau menjelaskan, seorang pesakit COVID-19 yang ditidurkan akan dibantu oleh mesin pernafasan.
“Prosedur sebelum ditidurkan kami akan minta pesakit mengucap dua kalimah syahadah dan bercakap buat kali terakhir melalui video call sahaja.
“Mungkin itulah salam terakhir pada keluarga dan ini adalah perjalanan terakhir salah seorang pesakit COVID aku. Moga ditempatkan bersama para solihin.
“Pemergian ditemani bukan daripada ahli keluarga sendiri. Mati itu pasti…daripada Dia kita datang dan kepada Dia juga kita kembali,” katanya yang berkongsi kesedihan itu menerusi Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Terdahulu, KKM memaklumkan jumlah kes baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini adalah 7,703, sekali gus negara merekodkan peningkatan dua hari berturut-turut.
Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 587,165 kes.
Menurut beliau, daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini, Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 2,728 kes diikuti Kuala Lumpur (701); Sarawak (588); Negeri Sembilan (586); Johor (554) dan Kelantan (541). – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH