2 JUN: Individu yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh boleh memilih moratorium sebagai salah satu bentuk bantuan bayaran balik pinjaman bagi meringankan beban kewangan mereka.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, peminjam berkenaan boleh memilih moratorium selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan bayaran balik pinjaman sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
Turut layak, katanya, individu di bawah bantuan bayaran balik pinjaman terkini dan peminjam B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
“Semua peminjam yang terkesan pengurangan pendapatan termasuk gaji, elaun, komisen dan pendapatan isi rumah juga layak untuk pengurangan ansuran bulanan bayaran balik pinjaman mereka mengikut pengurangan pendapatan mereka,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Di samping itu, BNM berkata, perusahaan mikro yang mempunyai kemudahan dengan jumlah diluluskan sehingga RM150,000 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh juga boleh memilih untuk mendapatkan moratorium selama tiga bulan atau pengurangan 50 peratus daripada bayaran ansuran bulanan selama enam bulan.
“Hanya perlu hubungi bank masing-masing dan buat pilihan,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan bayaran balik pinjaman boleh mengunjungi http://bnm.gov.my/RA.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan bahawa industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.
Inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun 2021 dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.