2 JUN: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa pertama bermula semalam hingga 14 Jun depan, semua penjaja kecil tidak perlu mendapatkan kelulusan melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) untuk terus beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan hari ini berkata, peniaga kecil hanya perlu menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Penjaja kecil di kawasan PBT yang mendapat permit penjaja sama ada kekal atau sementara tidak perlu mendapatkan kelulusan melalui CIMS, memadai dengan hanya menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh PBT.
“Sekiranya lokasi perniagaan membabitkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, KPKT memaklumkan kebenaran untuk berniaga ini hanya terpakai untuk penjaja kecil sahaja dan bukan untuk operasi pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu.
“Keputusan ini adalah berkuatkuasa serta merta dan terpakai sepanjang tempoh PKP 3.0.
“Semua penjaja kecil yang telah diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah mestilah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa menerusi infografik memaklumkan sebanyak 18 Kementerian dan agensi kerajaan bekerjasama dengan pihaknya dalam pemprosesan permohonan syarikat di bawah COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.
“Kementerian yang bekerjasama di bawah CIMS 3.0 adalah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Selain itu, Kementerian yang turut terlibat adalah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kemterian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Kewangan (MoF).
“Sementara itu, tiga agensi kerajaan yang terlibat bersama sistem CIMS 3.0 iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU),” katanya.