2 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di 13 lokaliti di Pekan Bayan Lepas, Mukim 12, Barat Daya, Pulau Pinang, selama 14 hari, bermula lusa.
Lokaliti itu adalah Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai, Bayan Tiara, Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan itu dikenakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan sebanyak 83 kes baharu di lokaliti terbabit dalam masa dua minggu dengan keseluruhan kes direkodkan setakat ini adalah 250 kes.
“Ujian saringan dijalankan ke atas kontak rapat juga menunjukkan kadar positiviti 19.6 peratus, manakala saringan komuniti 10.7 peratus.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 13 lokaliti seperti dinyatakan berkuasa 4 Jun sehingga 17 Jun 2021.
“PKPD ini memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes dan mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti itu,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.
Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di Lorong Taman Utama 5, 6, 7 & 8, Taman Utama, Sandakan, Sabah selama dua minggu, bermula esok.
“Berlaku peningkatan ketara dalam tempoh singkat apabila sembilan kes positif direkodkan hasil daripada 13 saringan dengan kadar positiviti 69.2 peratus.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Lorong Taman Utama 5, 6, 7 & 8, Taman Utama, Sandakan, Sabah berkuat kuasa 4 Jun sehingga 17 Jun 2021.
“PKPD ini memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD juga dilaksanakan di Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu, Sabah selama 14 hari bermula esok.
“Sebanyak 19 kes direkodkan hasil daripada 35 ujian saringan dijalankan KKM di situ dengan kadar positiviti 54.3 peratus.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu, Sabah berkuat kuasa 4 Jun sehingga 17 Jun 2021.
“PKPD ini memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan dikenakan di dua lokaliti di daerah Kota Kinabalu, Sabah, iaitu Rumah Murah Kepayan dan Kampung Tanjung Aru Baru selama dua minggu, bermula lusa.
Katanya, sebanyak 24 kes positif direkodkan, masing-masing 16 kes di Rumah Murah Kepayan dan lapan kes di Kampung Tanjung Aru Baru.
Malah, KKM mendapati kedua-dua lokaliti itu mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan boleh mendatangkan risiko penularan kes COVID-19.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti seperti dinyatakan berkuat kuasa 4 Jun sehingga 17 Jun 2021.
“PKPD ini memudahkan KKM menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke luar lokaliti terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD dikenakan di empat taman perumahan, Mukim Bentong, Bentong, Pahang selama 14 hari, bermula lusa.
Taman Perumahan itu, katanya, adalah Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni, Taman Kolej dan Taman Desa Damai.
Beliau berkata, sebanyak 19 kes dikesan di empat lokaliti terbabit, iaitu tujuh di Taman Bentong Makmur, manakala Taman Harmoni membabitkan lima kes, Taman Kolej (3 kes) dan Taman Desa Damai (4 kes) selepas KKM menjalankan 126 ujian saringan ke atas penduduk di situ.
“KKM juga mendapati berlaku peningkatan ketara kes sporadik dalam tempoh dua minggu, manakala kadar positiviti direkodkan adalah 7 peratus.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di empat taman perumahan seperti dinyatakan berkuat kuasa 4 Jun sehingga 17 Jun 2021.
“PKPD ini memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD yang kini dilaksanakan di Mukim Pekan, Kunak, Sabah diperluaskan kepada 15 lokaliti baharu selama dua minggu, bermula lusa.
Jelasnya, lokaliti itu adalah Bajau Laut – Palauh, Kampung Cina, Kampung Selamat, Kampung Kunak Jaya, Kampung Singgah Mata, Kampung Kunak Kecil, Kampung Bagiang, Kampung Jaya Baru, Kampung Datuk Haji Zainal Gunong, Kampung JKR Lama, Kampung Haji Mohd Noor, Kampung Pangkalan Lama, Kampung Pangkalan Laut, Kampung Sungai Atas dan Pekan Kunak.
Arahan itu, katanya, dikenakan apabila KKM mendapati berlaku peningkatan kes amat ketara dalam masa singkat dan sebanyak 173 kes aktif dikesan di lokaliti terbabit dengan kadar positiviti 64 peratus.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti seperti dinyatakan di Mukim Pekan (kecuali Kampung Kadazan, Kampung Simpang 4, Taman Sri Idaman, PPR Sri Pangkalan dan Bangunan Kedai Simpang 4) dalam daerah Kunak, Sabah.
“Ini bermakna, pelaksanaan PKPD sedang dikuatkuasakan di Kampung Kunak Tiga, Kampung Kabog, Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat, Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Kaya akan terbatal dan mengikut tarikh baharu, iaitu bermula pada 4 Jun sehingga 17 Jun 2021,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, PKPD di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis, Papar, Sabah yang dijadualkan tamat pada 3 Jun, dilanjutkan sehingga 14 Jun ini.
Sepanjang tempoh itu, katanya, KKM menjalankan 940 ujian saringan dan 171 daripadanya disahkan positif.
Penularan dan kes baharu, jelasnya turut disahkan berlaku dalam kalangan penghuni di lokaliti terbabit.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di SMU Pantai Manis, Papar, Sabah bermula 4 Jun sehingga 17 Jun 2021,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN