2 JUN: Dakwaan berlakunya kesesakan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu berpunca daripada orang ramai pulang ke kampung seperti tular di media sosial, semalam adalah tidak benar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata antara berlakunya punca kesesakan di laluan itu adalah pelaksanaan pemeriksaan teliti oleh polis ke atas semua kenderaan melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol itu, kelmarin.
Menurut beliau, semakan polis mendapati video itu dirakam ketika kesesakan berlaku antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang yang memaparkan kesesakan berlaku di laluan masuk ke pusat bandar raya ini hingga menjangkau hampir tiga kilometer sebelum Plaza Tol Jalan Duta.
“Kesesakan berpunca daripada tindakan polis menjalankan pemeriksaan rapi untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kesesakan juga berpunca daripada pertambahan kenderaan orang ramai yang keluar menyelesaikan pelbagai urusan sebelum Sekatan Pergerakan Penuh bermula,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Zulkefly memaklumkan, hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kenderaan yang membuat perjalanan merentas daerah dan negeri pula memiliki permit kebenaran daripada polis.
“Pada hari dan masa berlaku kesesakan itu, pasukan JSPT Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 4,536 kenderaan.
“Kita akan terus membuat pemeriksaan terperinci bagi memastikan tiada pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan aliran trafik sesak di laluan berkenaan, dengan ada pihak mendakwa ia berikutan aktiviti balik kampung sebelum pelaksanaan Sekatan Penuh Pergerakan bermula semalam.