2 JUN: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menggantung jawatan seorang ahlinya sebagai penyelaras parlimen berikutan dakwaan terbabit dalam kes cabul seorang peserta Unduk Ngadau atau Ratu Kaamatan di Sabah, seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Setiausaha Agung STAR, Datuk Guan Dee Koh Hoi, berkata setakat ini, ada dua laporan polis yang dibuat terhadap individu terbabit.
Beliau berkata, satu lagi laporan polis yang dibuat terhadap individu berkenaan ialah berkaitan dengan ugutan terhadap pengawal keselamatan di Dewan KDCA, di Penampang, Sabah, ketika salah satu pertandingan ratu cantik sempena sambutan Pesta Kaamatan, baru-baru ini.
“Merujuk kepada isu yang sedang hangat diperkatakan, isu viral yang mengaitkan nama parti STAR pada masa ini, saya meminta agar semua pihak mengambil masa untuk bertenang.
“Kita mengambil berat terhadap perkara ini kerana STAR adalah parti yang berperlembagaan dan segala perkara hendaklah diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang yang ada dalam parti.
“Sehubungan itu, STAR telah menggantung jawatan ahli yang didakwa itu sebagai penyelaras parti di sebuah kawasan parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Guan Dee yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, berkata, tindakan seterusnya akan diambil selepas lembaga disiplin parti bersidang sama ada individu terbabit digantung keahliannya atau dipecat terus daripada parti.
Katanya, tindakan yang dilakukan itu juga membuktikan STAR sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan dan aduan daripada semua pihak terutama daripada ahli-ahli parti itu.
“Oleh itu, semua ahli dan penyokong parti diminta bertenang dan bersabar menghadapi perkara ini serta tidak membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Marilah kita bersama membangun dan memantapkan STAR, letaklah kepercayaan kepada kepimpinan parti untuk memimpin dan menjaga parti ini,” katanya.