3 JUN: Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini masih menunjukkan peningkatan iaitu 8,209 kes berbanding semalam yang mencatatkan 7703 kes.
Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 595, 374 kes.
Menurut beliau, Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 3,125 kes di mana kes di negeri itu meningkat berbanding semalam iaitu 2728 kes.
“Selain itu, negeri turut mencatatkan peningkatan adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (801), Johor (752), Sarawak (594), Perak (384), Kedah (373), Melaka (322), dan Putrajaya (33)
“Lapan negeri yang mencatatkan penurunan adalah Sabah (203), Pulau Pinang (303), Kelantan (414), Negeri Sembilan (576), Pahang (135), Terengganu (127), Labuan (62), dan Perlis (5),” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.
Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza, Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di negara ini mencatatkan sedikit penurunan kepada 1.06 semalam, berbanding 1.07 kelmarin.
Bagaimanapun, data dikongsi beliau menunjukkan hampir semua negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan antara 1.07 hingga 1.49 semalam.
“Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan Rt tertinggi dengan 1.49, disusuli Negeri Sembilan (1.24), Sabah (1.21), Melaka (1.19), Perlis (1.19), Pahang (1.13), Pulau Pinang dan Kelantan (1.12), Perak (1.11),
“Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Selangor; Terengganu dan Sarawak (1.09), Kedah (1.06) serta Johor 1.04),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH