3 JUN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal membuka enam pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu di kem tentera bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PPV pandu lalu itu akan dibuka di enam kem tentera terpilih atau kawasan berhampirannya di seluruh negara.
Katanya, Kem Sungai Besi menjadi projek perintis usaha itu yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Buat masa ini, proses vaksinasi melalui kaedah itu hanya dikhaskan kepada anggota ATM dan keluarga mereka.
“Jika konsep ini berjaya, kita akan membukanya kepada orang awam supaya mereka dapat menerima vaksinasi secara pandu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Pembinaan Hospital Modular COVID-19 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan secara maya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, ATM akan menggunakan bas sebagai klinik bergerak untuk dijadikan sebagai PPV di kawasan pedalaman.
“Ini sebahagian usaha membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 (PICK) dilaksanakan kerajaan.
“Kita juga akan menghantar doktor dan paramedik ke kawasan terpilih, terutama di Sabah dan Sarawak,” jelasnya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN