Dakwaan tiada PPV di Pagoh,Gambir tidak berasas
3 JUN: Kenyataan bersama tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa tiada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam kawasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh sama sekali tidak berasas.
Setiausaha PN Negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menegaskan tuduhan itu jelas berniat buruk bagi memberikan tanggapan negatif terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Pembukaan PPV adalah berdasarkan kesesuaian dan dibuka mengikut keperluan dan ketiadaan fasiliti itu di Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir iaitu kawasan diwakili Muhyiddin tidak bermakna tiada sebarang usaha dibuat untuk mewujudkannya bagi memudahkan penduduk.
“Sebagai ketua kerajaan yang bertanggungjawab, Perdana Menteri telah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi membuka PPV,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan laporan sebuah portal berita yang memetik kenyataan bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan ADUN Skudai, Tan Hong Pin.
Tiga wakil rakyat PH itu kononnya mendakwa, penduduk di kawasan diwakili Muhyiddin di Parlimen Pagoh dan DUN Gambir terpaksa membuat perjalanan jauh jika mahu mendapatkan vaksin kerana tiada pusat pemberian vaksin (PPV) di situ.
Dalam pada itu, Sahruddin memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mesyuarat pada Isnin lalu, telah memberikan pandangan bahawa betapa perlunya untuk menambah PPV di daerah Muar sebelum memutuskan untuk membuka PPV baharu di Dewan Serbaguna Pagoh dan Dewan Muafakat Johor, Bukit Gambir.
“Usaha mewujudkan dan menambah bilangan PPV terutama di Muar telah lama dilaksanakan. Sebagai wakil rakyat DUN Bukit Kepong, saya juga telah menyuarakan hasrat kepada kerajaan agar dibuka PPV di kawasan yang saya wakili.
“Alhamdulillah, hasil mesyuarat bersetuju membuka PPV Dewan Serbaguna Pagoh yang dijangka dibuka pada 6 Jun ini, manakala PPV di Bukit Gambir dalam masa terdekat tertakluk kepada keputusan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Sahruddin memberitahu setiap tindakan yang sudah, sedang dan bakal diambil oleh kerajaan adalah berdasarkan keputusan dibuat secara musyawarah dan kolektif melibatkan agensi, jabatan serta pihak yang berkaitan.
“Usahlah kita mempolitikkan sebarang isu yang bukan di dalam pengetahuan kita, sebaliknya saya menyarankan kepada ketiga-tiga wakil rakyat PH ini untuk mengambil peluang memberi perkhidmatan terbaik.
“Beliau boleh melakukan dengan cara memberi keselesaan kepada rakyat yang hadir bagi menerima vaksin di PPV dalam kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) yang diumumkan Perdana Menteri membuktikan kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan terhadap isu kemaslahatan serta kelangsungan hidup rakyat di lapangan.
Beliau yakin kerajaan amat sedar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini juga akan memberikan implikasi besar kepada ekonomi negara mahupun rakyat.
“Ia juga adalah antara ikhtiar bagi memutuskan rantaian jangkitan dalam memastikan pandemik Covid-19 berjaya dikawal dan diuruskan dengan baik oleh kerajaan, cabaran yang dihadapi pihak industri dan rakyat di lapangan tetap diberikan fokus,” katanya.