3 JUN: Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga dijangka mengadakan pilihan raya selepas Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Paralimpik berakhir September depan.
Jepun masih bertegas untuk menganjurkan acara sukan berprestij itu walaupun berdepan kebimbangan penularan pandemik COVID-19.
Akhbar tempatan Asahi melaporkan, sumber parti kerajaan memberitahu, kerajaan juga sedang merangka pakej rangsangan ekonomi sebelum pilihan raya mengejut itu berlangsung.
Semalam, Suga memutuskan bersama ketua parti gabungan untuk tidak melanjutkan sesi Parlimen apabila ia tidak lagi bersidang pada 16 Jun ini.
Ini bermakna Jepun bakal memanfaatkan rizab simpanan berjumlah hampir 4 trilion yen (RM150 bilion) untuk memerangi wabak itu.
Bagaimanapun laporan Asahi itu belum mendapat reaksi balas pihak kerajaan.
Suga sebelum ini berkata, beliau sedang memberi tumpuan terhadap usaha memerangi pandemik dan Jepun juga akan meneruskan temasya di bawah langkah yang ketat.
Beberapa penyokong kerajaan juga meminta kerajaan meningkatkan peruntukan untuk memulihkan kembali ekonomi yang terjejas akibat perintah darurat.
Negara itu juga berdepan kritikan disebabkan program vaksinasi yang perlahan dan tentangan daripada rakyat terhadap penganjuran temasya sukan, sekali gus mengurangkan sokongan terhadap Suga selain ketidaktentuan terhadap pentadbirannya.
Asahi juga melaporkan, Sukan Olimpik Tokyo akan bermula pada 23 Julai ini dan jika pilihan raya dibuat, ia akan diadakan selepas 5 September iaitu berakhirnya Sukan Paralimpik.