3 JUN: Nilai kekayaan 50 hartawan dalam Senarai Kekayaan Malaysia Forbes 2021 meningkat 14 peratus kepada hampir AS$90 bilion (RM371 bilion) tahun ini.
Forbes Asia dalam satu kenyataan berkata, selepas dua tahun susut, lonjakan itu sebahagiannya disumbangkan oleh kedudukan dominan Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan perubatan kepada dunia.
“Sepanjang pandemik ini permintaan global untuk peralatan perlindungan diri meningkat ketara, eksport sarung tangan getah Malaysia juga naik sekali ganda,” katanya.
Berikut merupakan lima daripada mereka yang tersenarai dalam kalangan 50 hartawan paling kaya di negara ini.
Dua daripadanya berada dalam kedudukan 10 hartawan paling kaya Malaysia ialah Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon di kedudukan ketujuh dengan nilai kekayaan AS$3.8 bilion (RM15.6 bilion) dan Pengasas Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Lim Wee Chai di tangga kelapan dengan kekayaan bernilai AS$3.5 bilion (RM14.4 bilion).
Majalah perniagaan itu berkata, pandemik menjejaskan ekonomi Malaysia sehingga menguncup 5.6 peratus pada 2020, namun dijangka kembali pulih tahun ini.
“Biarpun penanda aras indeks saham meningkat sederhana 2.5 peratus sejak nilai kekayaan ini diukur kali terakhir 15 bulan lalu, 50 individu terkaya negara menyaksikan gabungan kekayaan mereka meningkat kepada hampir AS$90 bilion (RM371 bilion), naik daripada AS$79 bilion (RM325.7 bilion) setahun lalu,” katanya.
Robert Kuok yang bergiat aktif dalam perniagaan utama dalam komoditi dan hartanah, terus unggul sebagai individu terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan bernilai AS$12.2 bilion (RM50.3 bilion).
Beliau turut menjadi hartawan paling tua dalam senarai itu pada usianya 97 tahun.
Di kedudukan kedua ialah Tan Sri Quek Leng Chan, generasi kedua yang menerajui kumpulan Hong Leong dengan nilai kekayaan AS$9.6 bilion (RM39.6 bilion).