Kes kematian dijangka boleh cecah 26,000 pada September-KKM
3 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan jumlah kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia akan mencecah 26,000 menjelang September sekiranya tiada langkah pembendungan yang khusus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata unjuran itu dibuat berdasarkan pola kematian dalam kalangan pesakit COVID-19 di negara ini, khususnya golongan muda semakin membimbangkan.
Dr Adham berkata, kes ‘brought in dead’ (BID) atau meninggal ketika dibawa ke hospital dalam kalangan golongan muda, berusia bawah 30 tahun saban hari menunjukkan peningkatan.
“Mereka ini tidak sempat ditempatkan ke hospital, justeru meninggal dunia apabila tiba dan ini berpunca daripada kandungan oksigen dalam badan yang rendah.
“Ini dikaitkan dengan ‘happy hypoxia’ yang pernah dilaporkan dan dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini, sekali gus menyaksikan pesakit COVID-19 tidak mengalami sebarang gejala.
“Tetapi, hakikatnya kandungan oksigen dalam badan mereka sebenarnya rendah dan situasi ini langsung tidak disedari, sebelum ia terlalu lambat,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata KKM juga meramalkan sistem perkhidmatan kesihatan negara akan lumpuh menjelang 5 Jun ini jika kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai 1 Jun lalu.
Dr Adham Baba, berkata, unjuran situasi terburuk di Malaysia memandangkan kadar jangkitan harian semakin meruncing, mencecah 9,020 kes pada 29 Mei lalu.
Justeru, Dr Adham berkata keputusan tuntas dengan mengumumkan perintah sekatan pergerakan menyeluruh perlu dibuat kerajaan bagi membendung risiko perkhidmatan kesihatan daripada lumpuh.
“Kita bentangkan pelan kontingensi dan pengurusan COVID-19 sejak awal Mei apabila kadar kebolehjangkitan atau Rt mula meningkat, sekitar 1.1 hingga 1.2.
“Oleh itu, kita cadangkan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 12 Mei lalu, bagi mengawal penularan jangkitan yang berpunca daripada 60 peratus kes sporadik dan 40 peratus kes berkaitan kluster.
“Pada 25 Mei, kita putuskan PKP dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan selepas melihat nilai Rt mengikut unjuran model kes sudah melepasi 1.2 dan semakin meningkat.
“Selain itu, kita berdepan kebimbangan peningkatan penularan jangkitan yang berpunca daripada pelbagai varian baharu, iaitu Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria,” katanya.