3 JUN: Kerajaan akan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan sehingga 18 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di lokaliti itu yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan selepas 239 penduduk di situ disahkan positif COVID-19 daripada 1,462 ujian saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Penularan berterusan didapati masih berlaku dalam kalangan penduduk dan terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti terbabit.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan bermula 5 Jun sehingga 18 Jun 2021,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.
Ismail Sabri berkata, PKPD di 15 mukim di Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat esok, turut dilanjutkan sehingga 18 Jun.
Katanya, arahan itu dikenakan kerana sehingga kini, KKM menjalankan 3,569 ujian saringan dan 281 daripadanya disahkan positif.
Malah, jelasnya, KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk dan terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti terbabit.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 15 mukim di Besut, Terengganu bermula 5 Jun sehingga 18 Jun 2021,” katanya.
Sementara itu, PKPD di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Besut, Terengganu, ditamatkan esok seperti dijadualkan.
Jelasnya, sehingga kini, KKM menjalankan 327 ujian saringan dan 42 daripadanya disahkan positif.
Penurunan kes turut disahkan berlaku di lokaliti terbabit dan kluster adalah terkawal.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di RAKR Pelagat 3, Besut, Terengganu pada 4 Jun 2021, seperti dijadualkan.
“Bagaimanapun, memandangkan lokaliti ini berada dalam Besut, kawasan terbabit tertakluk dengan PKPD daerah berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 987 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 939 individu dikompaun, 47 direman, manakala seorang dijamin.
“Kesalahan tertinggi direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, iaitu seramai 218 individu, diikuti rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis dengan 196 individu dan gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (135).
“Membawa penumpang berlebihan pula merekodkan 127 individu, tiada penjarakan fizikal (125), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (68), aktiviti pusat hiburan (35), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (71),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN