3 JUN : Amerika Syarikat yang telah menyenarai hitamkan 31 syarikat China ketika pentadbiran Trumph, menambah lagi jumlah syarikat China dalam senarai hitam negara tersebut kerana mempunyai kaitan dengan industri ketenteraan Beijing dalam pentadbiran Presiden Joe Biden hari ini.
Setakat ini, pentadbiran Biden menambah kepada 59 syarikat yang dilarang, bagi rakyat Amerika untuk memiliki kepentingan di dalamnya.
Tindakan tersebut dilakukan sebagai tekanan berterusan dari negara tersebut terhadap kuasa Asia itu.
Menurut kenyataan Rumah Putih, sekatan itu mensasarkan syarikat yang terbabit dengan teknologi pengawasan China yang didakwa digunakan untuk memudahkan penindasan atau pelanggaran hak asasi manusia yang serius yang merosakkan nilai keamanan atau demokrasi.
Syarikat yang disenarai hitamkan ketika pentadbiran Trump merangkumi syarikat telekomunikasi, pembinaan dan teknologi utama seperti China Mobile, China Telecom, firma pengawasan video Hikvision, dan China Railway Construction Corp.
Larangan pelaburan berkuat kuasa pada 2 Ogos dan pemegang saham semasa mempunyai tempoh satu tahun untuk melepaskan pegangan.
Langkah itu antara rangkaian langkah yang dilaksanakan Rumah Putih yang mensasarkan kuasa Asia itu yang menyebabkan hubungan di antara kedua-dua negara tegang.