4 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 akan diumumkan pada 10 Jun ini mulai jam 10 pagi.
KPM menerusi kenyataan memaklumkan, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah semakan di portal Lembaga Peperiksaan atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Layari portal Lembaga Peperiksaan http://lp.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh atau menerusi perkhidmatan SMS dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 68886.
“Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 10 Jun 2021 sehingga jam 6 petang pada 17 Jun 2021,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, KPM berkata, bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.
“Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon persendirian tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan,” katanya.