4 JUN: Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan Sidang Dewan Parlimen secara hibrid yang akan melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan Parlimen akan dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.
Justeru, beliau memaklumkan, pihaknya telah mengadakan mesyuarat secara maya dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan Timbalan-Timbalan Yang DiPertua bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.
“Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen Hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan ahli-ahli parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.
“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.