4 JUN: Kes kembali mencatatkan penurunan di paras 7,000 apabila kes baharu COVID-19 berjaya merekodkan jumlah sebanyak 7,748 kes hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 603,22 kes.
Menurut beliau, daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini, Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 2,612 kes diikuti Kuala Lumpur (851); Negeri Sembilan (709); Sarawak (706); Johor (446) dan Pulau Pinang (376) dan Perak (371).
“Selain itu, Sabah mencatatkan kes sebanyak 287 kes yang diikuti oleh Kelantan (286); Kedah (263); Melaka (234); Labuan (230); Terengganu (203) dan Pahang (146).
“Manakala hanya dua negeri mencatatkan kes baharu COVID-19 di bawah tiga angka iaitu Putrajaya 20 kes dan Perlis pula hanya mencatatkan lapan kes pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Sementara itu, menerusi kenyataan berbeza, Noor Hisham memaklumkan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), hari ini, bersetuju memberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan ketika bencana kepada produk vaksin ‘COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection’ keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua, Siam Bioscience Co Ltd di Thailand.
Menurut beliau, pengilang kedua itu adalah pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.
“PBKD sebelum ini meluluskan pendaftaran bersyarat, 2 Mac lalu, bagi pengilang Medimmune Pharma BV, Belanda, yang menjadi pengeluar bekalan vaksin AstraZeneca ke negara Eropah.
“Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah, iaitu secara terus dengan pengeluar dan melalui fasiliti Covax. Malaysia sudah mula menerima bekalan bawah fasiliti COVAX pada April lalu.
“Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada Siam Bioscience Co Ltd, dijangka dapat mempertingkat kadar vaksinasi bawah PICK dengan lebih pantas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan, kelulusan pendaftaran secara bersyarat itu memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk, iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data tambahan dan terkini produk vaksin berkenaan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan serta keselamatan vaksin berkenaan sentiasa dikemas kini, dengan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) kekal positif.
“Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempertingkat tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19, melalui perolehan bekalan vaksin yang sudah dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta diluluskan PBKD.
“Kerajaan juga komited memastikan penduduk dewasa di Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras sasaran PICK,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH