LKW tawar RM7.6 juta bantu usahawan
4 JUN: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) menawarkan beberapa insentif tambahan bernilai hampir RM7.6 juta kepada usahawan yang terkesan akibat COVID-19.
Abd Latiff berkata, jumlah keseluruhan implikasi kewangan membabitkan lima LKW adalah sebanyak RM7,590,650.60, manakala anggaran yang menerima manfaat ini, termasuk isi rumah seramai 3,256 orang.
“Kementerian berharap dengan insentif diberikan ini, mampu membantu mereka yang terjejas di LKW, sekali gus meringankan beban dan meningkatkan semula ekonomi mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. .
Menurutnya, penularan pandemik itu dan pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, memberi kesan kepada semua kumpulan sasar, terutama usahawan dan peniaga kecil di LKW.
Beliau berkata, kesan itu membabitkan lima agensi LKW di bawah kementerian berkenaan, iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
“Kesan dialami ini adalah kemerosotan prestasi perniagaan, kemerosotan permintaan dan penawaran produk, kekurangan stok bahan mentah, pengeluaran produk terhad, kesukaran membayar sewa premis perniagaan serta kesukaran membayar balik pinjaman perniagaan.
“Justeru, LKW menawarkan insentif kepada golongan ini mulai Mei sehingga Julai 2021, seperti pengecualian bayaran premis perniagaan, penangguhan bayaran sewa rumah, pengecualian bayaran sewa tanah, penangguhan bayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula serta memperluas program keusahawanan di agensi.