4 JUN: Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang digalakkan bersama membantu rakyat sebagai tanda solidariti ketika negara dilanda wabak COVID-19.
Anggota Exco kerajaan negeri Kedah, Datuk Siti Aishah Ghazali berkata, pembangkang juga sewajarnya menunjukkan keprihatinan dengan menyumbang sedikit gaji untuk Tabung Bencana COVID-19.
Katanya, ADUN pembangkang juga mempunyai tanggungjawab kerana mereka dipilih rakyat.
“Jadi perlulah mereka membuktikan keprihatinan kepada rakyat terutama pada saat penularan wabak sekarang,” ujar beliau hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan anggota Kabinet setuju memotong tiga bulan gaji bermula Jun ini untuk disalur kepada Dana Bencana COVID-19.
Malah sehingga sekarang banyak kerajaan negeri mengambil langkah dengan memotong gaji menteri besar dan anggota-anggota Exco serta wakil rakyat.
Siti Aishah yang juga ADUN Merbau Pulas berkata, amat wajar apa yang berlaku sekarang ditanggung bersama kerana negara belum pernah menerima musibah penularan wabak seperti sekarang.
Semua Adun PAS Kedah baru-baru ini sepakat memotong sebanyak 70 peratus elaun Jun untuk tabung bencana COVID-19.