4 JUN: Sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) bagi orang kurang upaya (OKU) secara pandu lalu, bakal diwujudkan minggu depan, bertujuan membantu mempercepatkan proses pemberian imunisasi COVID-19 kepada golongan itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata PPV itu akan beroperasi di di Lembah Klang dengan kerjasama pihak swasta melalui Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
“PPV pandu lalu ini adalah alternatif untuk memudahkan dan menyegerakan pemberian vaksin kepada komuniti OKU dengan hanya duduk di dalam kereta tanpa perlu keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau pelaksanaan program vaksinasi OKU di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Kuala Lumpur, hari ini.
Rina berkata, berdasarkan data Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), kira-kira 577,000 OKU berdaftar di bawah JKM setakat ini dan seramai 195,395 daripadanya, mendaftar untuk pemvaksinan menerusi MySejahtera.
Katanya, bagi mempercepat pendaftaran OKU, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan berkaitan.
Selain itu, Rina berkata kementeriannya melalui JKM, sudah menyerahkan nama dan butiran asas seramai 446,000 OKU yang berdaftar dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) kepada pihak berkaitan, bagi memastikan individu dalam kumpulan sasaran itu tidak tercicir daripada mendapatkan vaksin.
Jelasnya, bagi memudahkan pendaftaran, MAB juga menubuhkan pusat panggilan khas di talian 03-2272 2677 yang hingga hari ini telah menerima 1,900 permohonan.
PPV di MAB itu, katanya, dijangkakan berupaya memberikan 200 vaksin setiap hari dengan pembabitan 20 sukarelawan JKM bagi membantu paramedik dan doktor bertugas.