4 JUN: Tidak memakai pelitup muka direkodkan sebagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) paling tinggi semalam, apabila mencatatkan 237 individu daripada keseluruhan 946 individu ditahan.
Angka itu juga menunjukkannya sebagai kesalahan tertinggi bagi dua hari berturut-turut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semalam, seramai 946 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 924 dikompaun, manakala 22 direman.
“Kesalahan lain direkodkan semalam adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis, iaitu seramai 186 individu.
“Gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (160), tiada penjarakan fizikal (156) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (71).
“Manakala membawa penumpang berlebihan (63), premis gagal patuhi arahan (14) dan lain-lain (59),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN